Baru-baru ini saya
telah selesai menulis skrip untuk rancangan majalah yang akan disiarkan di RTM.
Menulis skrip bukanlah pencapaian, baru bagi saya… saya pernah menulis skrip untuk satu siri
rancangan yang juga diterbitkan untuk RTM dua dekad dahulu.
Skrip yang diterbitkan ketika itu untuk Malaysia Book of Record adalah dalam Bahasa Inggeris. Kali ini pula, rancangan
yang bernama Skup Jurnalis, seperti yang dapat dilihat daripada tajuk, adalah dalam Bahasa
Melayu.
Kali terakhir saya
menulis dalam Bahasa Melayu lebih daripada satu atau dua ayat adalah ketika saya
menduduki peperiksaan subjek yang sama bagi Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia pada tahun 1992.
Pencapaian kini adalah
kebolehan saya menulis kembali dalam bahasa kebangsaan, bukan satu ayat, atau
satu perenggan... tetapi beberapa muka surat. Walaupun jalan bahasa tidak lari
daripada cara penulisan bahasa Inggeris yang lebih saya kenali dan selesa, terdapat perbezaan disana
dan sini. Apabila saya membaca balik apa yang ditulis, saya dapat faham... ada
yang pelik dalam penyampaian tulisan tersebut.
Yang mengharukan,
dan membanggakan adalah saya masih lagi ingat apa yang dipelajari lebih dari
beberapa dekad dahulu. Memang ada kesalahan tatabahasa disana dan disini, dan
ejaan yang berbeza sekarang, terutamanya dengan pengimportan
perkataan-perkataan daripada bahasa Inggeris (yang agak berlebihan, tetapi tiada
satu bahasa yang original didunia, semua melalui evolusi dengan mengambil masuk
perkataan dan frasa daripada bahasa lain).
Oleh itu, saya
ingin memulakan fasa baru dalam perjalanan kerjaya saya dengan merujuk kembali apa yang telah saya pelajari zaman sekolah dulu. Sepatutnya, Bahasa
Melayu saya adalah lebih mantap dari Bahasa Inggeris. Untuk SPM, saya dapat A2
untuk Inggeris dan A1 untuk BM. Saya tidak dapat mengambil bahasa Inggeris untuk
STPM, kerana sekolah (swasta, sebab SPM saya tidak cukup kuat untuk masuk
sekolah kerajaan) tidak mempunyai guru untuk subjek tersebut.
Jadi, saya belajar
dan menduduki peperiksaan untuk Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia seperti
SPM, masa itu) dan bolehlah tahan... saya dapat A dalam mata pelajaran tersebut.
Melihat bahawa keputusan mata pelajaran yang lain agak lemah, subjek Bahasa Melayulah yang menarik saya keluar daripada gaung kegagalan.
Jadi, itulah alkisah. Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua guru-guru bahasa, kedua-dua, kerana ialah yang memberi saya harapan setelah melalui zaman kegelapan dalam kehidupan saya. Ini adalah catatan penghargaan tersebut. - RKP 16/11/2021
No comments:
Post a Comment